Tuesday, February 16, 2010

UNTUK RENUNGAN

ISLAM 101

Translated into BM by Jason:
Asas-asas Islam
Orang Melayu kata bahawa kita mesti menjalani hidup (addeen) sesuai dengan Quran, sunnah (cara) dan hadis (perkataan) Nabi. Mmm… semasa baginda hidup dulu, dia pernah menganjurkan majlis hari jadikah? Pada masa tu, adakah umat Islam merayakan hari lahir baginda dengan berarak di jalan-jalan Madinah? Jika tak, maka dari manakah datangnya tradisi aneh ni?

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin

Kawan saya, iaitu anak kepada seorang mufti Perak yang terkenal suatu masa dahulu pernah memberitahu sesuatu kepada saya.

Katanya, ada seorang lelaki yang mempunyai empat orang anak lelaki. Anak pertama menjadi doktor, yang kedua menjadi peguam dan yang ketiga menjadi jurutera. Tetapi anak yang keempat tak berapa pandai. Jadi, ayahnya menghantarnya untuk mempelajari jurusan agama. Si anak ni kemudiannya menjadi mufti. Kawan saya menyimpulkan bahawa itulah sebabnya para mufti tidak terdiri daripada orang yang benar-benar bijak.

Itulah yang dikatakan oleh kawan saya, Jad, anak seorang mufti Perak yang terkenal, yang juga penyokong totok UMNO dan pembenci pembangkang. Jangan salahkan saya. Tu lawaknya, bukan lawak saya. Saya hanya memberitahu apa yang dinyatakannya.

Tapi bukan semua mufti terdiri daripada pelajar tercicir. Sebaliknya, ada mufti yang bergelar doktor, seperti mantan mufti Perlis. Seperti yang anda mungkin tahu, dia adalah antara mufti yang paling progresif dan liberal yang pernah muncul di persada negara. Bahkan orang bukan Islam juga selesa dengan pandangan-pandangannya. Selain tu, dia juga satu-satunya mufti yang saya kenali yang mempunyai blog sendiri (http://drmaza.com/), yang mana dia menulis dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Malah dia juga mungkin akan menulis dalam bahasa Arab jika terdapat ramai pembaca yang mahir berbahasa Arab di Malaysia.

Ramai yang membenci saya kerana 'berkhutbah' tentang Islam. Ini kerana menurut mereka, saya tak ada 'lesen' untuk bercakap tentang Islam dan tak pernah belajar di mana-mana universiti Islam. Dengan demikian, saya tak layak untuk bercakap tentang Islam. Tapi bagaimana pula dengan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, iaitu mantan mufti Perlis yang saya sebutkan di atas? Dia bukan saja layak, malah dia adalah bekas mufti dan bergelar doktor pula tu. Namun mereka menangkapnya baru-baru ni semasa dia berceramah tentang Islam.

Jadi, isu sebenar bukanlah sama ada anda layak dan memiliki ijazah yang sepatutnya ataupun pernah belajar di sebuah universiti Islam, atau lain-lain lagi. Isu yang sebenar adalah sama ada perkara yang anda sampaikan selari dengan kehendak kerajaan ataupun tidak. Jika ya, okeylah. Jika tak, maka anda dikira tak layak untuk bercakap. Nah, tulah hujung pangkalnya.

UMNO menghentam Lim Guan Eng atas perkara yang didakwa mereka sebagai pendirian Guan Eng yang anti-Melayu dan anti-Islam. UMNO menuduh bahawa Guan Eng membatalkan perarakan Maulidur Rasul. Ya, hakikatnya adalah orang Melayu merayakan ulang tahun Nabi dengan berarak di jalanan sambil melaungkan namanya.

Kalau ikutkan, ni dah kira demonstrasi. Demonstrasi merujuk kepada sebarang tindakan yang melibatkan perarakan di jalanan sambil melaungkan sesuatu. Tak percaya? Pergilah tanya polis. Tapi bukankah UMNO sendiri yang mengatakan bahawa berdemonstrasi dan berarak di jalanan bukan budaya kita? UMNO menentang tindakan berdemonstrasi dan berarak di jalanan kerana ia melanggar budaya Malaysia. UMNO yang cakap macam tu, bukan saya.

Ya, orang Melayu mungkin satu-satunya golongan Muslim yang merayakan hari jadi Nabi dengan berdemonstrasi. Bahkan ini tak diamalkan di Mekah dan Madinah. Budaya ni hanya terdapat di Malaysia, sebagaimana budaya pertandingan membaca al-Quran, yang mana ia tidak diamalkan di Mekah, Madinah, Istanbul, Tehran dan lain-lain tempat.

Dalam pertandingan membaca al-Quran, para peserta dinilai berdasarkan irama dan ketepatan bacaan. Hakikatnya adalah lebih daripada 90% daripada mereka yang menghadiri pertandingan membaca al-Quran tak pandai bercakap bahasa Arab. Jadi, mereka sebenarnya tak berapa faham pun apa yang dibaca. Ia adalah seperti menghadiri konsert rock di Jerman. Kumpulan muzik tu menyanyi dalam bahasa Jerman dan anda tak faham pun apa yang mereka nyanyikan. Jadi, anda hanya menghayati melodi dan suara si penyanyi, dan bukannya liriknya… iaitu dalam bahasa Jerman.

Jadi, apa yang kecoh-kecoh sangat tentang perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, yang mana UMNO menuduh bahawa Lim Guan Eng telah membatalkannya? Mula-mula sekali, betulkah dia membatalkannya? Kalau betul pun, apa masalahnya? Mungkin ada hikmah di sebaliknya, iaitu orang Melayu akan kembali ke jalan yang benar. Sebenarnya, dah beberapa generasi lamanya orang Melayu menyimpang dari ajaran Islam.

Orang Melayu kata bahawa kita mesti menjalani hidup (addeen) sesuai dengan Quran, sunnah (cara) dan hadis (perkataan) Nabi. Mmm… semasa baginda hidup dulu, dia pernah menganjurkan majlis hari jadikah? Pada masa tu, adakah umat Islam merayakan hari lahir baginda dengan berarak di jalan-jalan Madinah? Jika tak, maka dari manakah datangnya tradisi aneh ni?

Saya tak kata bahawa adalah salah bagi kita memperingati hari jadi Nabi. Tapi berapa ramaikah antara peserta perarakan Maulidur Rasul yang tahu hari Nabi dilahirkan? Tahukah mereka bahawa Nabi juga wafat pada hari ulang tahunnya? Jadi, adakah mereka merayakan kematian dan juga hari jadinya pada masa yang sama?

Ramai daripada mereka yang menyertai perarakan Maulidur Rasul tak sedar pun bahawa Nabi wafat pada hari ulang tahunnya. Sepertimana dalam kes Nabi Isa, terdapat perbezaan pendapat mengenai hari baginda dilahirkan. Tradisi mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada Tahun Gajah. Pihak yang lain pula mengatakan bahawa baginda mungkin dilahirkan dua tahun sebelum tu. Jadi, sebagaimana terdapat perbezaan pendapat tentang kelahiran Nabi Isa (25 Disember ataupun pada bulan Julai), begitu jugalah dengan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Masalahnya adalah pada masa tu, tiada rekod disimpan tentang hari kelahiran dan sebagainya. Jadi, sebenarnya, pendapat tentang hari lahir Nabi adalah dugaan berdasarkan maklumat yang ada. Ini kerana bagi orang Arab dan Badwi pada masa tu, perkara seperti ni tak penting. Jadi, mereka tak kisah tentang tarikh lahir seseorang.

Walau bagaimanapun, jika anda ingin memperingati Nabi, maka itu tak menjadi masalah… silakan. Tapi jika anda benar-benar mencintai Nabi dan mahu memperingatinya, maka sepatutnya ada cara yang lebih baik bagi melakukannya.

Kenapa anda nak raikan ulang tahun seorang individu yang tidak anda contohi? Jika anda benar-benar mencintai Nabi dan ingin memperingatinya, maka anda harus mengikut ajarannya.

Nabi menentang perkauman. Ini adalah antara isi khutbah terakhirnya di Arafah. Tetapi mereka yang turut serta dalam perarakan Maulidur Rasul terus berusaha menegakkan Ketuanan Melayu.

Nabi juga berkata bahawa rasuah adalah riba' dan bahawa dosa riba' adalah seperti dosa bersetubuh dengan ibu ataupun ayah sendiri. Pinjaman bank melibatkan riba'. Begitu juga dengan pinjaman kereta dan kad kredit. Wang yang diperoleh bukan dari hasil usaha sendiri tetapi dengan menggunakan wang bagi menjana wang, seperti saham dan bon juga adalah riba'. Selain tu, spekulasi (berjudi) seperti pembelian ataupun jualan hadapan (forward) adalah riba'. Di samping itu, pendapatan tetap (bunga) yang diterima atas wang adalah riba'. Keuntungan yang berlebihan juga adalah riba'. Tambahan pula, tindakan menyembunyikan barangan yang mengakibatkan kekurangan bekalan, yakni dengan tujuan menaikkan harga juga adalah riba'.

Hah, tunjukkan kepada saya seorang Melayu yang menyertai perarakan Maulidur Rasul yang tak terlibat langsung dengan riba’.

Ada banyak perkara yang disuruh dan ditegah oleh Nabi. Tapi kita melakukan sebahagian besar dari perkara yang ditegah dan sebaliknya, tidak melakukan sebahagian besar dari perkara yang disuruh. Malah kita melanggar ajaran Nabi setiap masa. Kita tidak menurut ajaran baginda. Sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW, kita sememangnya telah gagal. Namun di sebalik tu, kita mahu memperingati Nabi dengan berarak di jalanan pada hari ulang tahunnya.

Kalau nak berarak, beraraklah. Tapi sebelum tu, pastikan anda mengikut segala ajaran Nabi. Apa anda ingat bahawa dengan berarak di jalanan pada hari jadi Nabi, maka itu bermakna bahawa anda adalah pengikut sejati Nabi Muhammad SAW? Sebenarnya, berarak di jalanan hanyalah satu bentuk demonstrasi, yakni anda sekadar menunjukkan bahawa anda adalah pengikut sejati Nabi Muhammad. Tapi ia tetap satu bentuk demonstrasi, yang mana demonstrasi hanya bersifat luaran dan bukannya dalaman. Apa yang lebih penting adalah dalaman dan bukannya luaran.

Berkenaan dengan isu yang mana UMNO mengatakan bahawa demonstrasi bukan budaya kita dan tidak seharusnya dibenarkan, UMNO pula sering menceritakan tentang demonstrasi anti-Malayan Union tahun 1946 yang mereka anjurkan di depan Majestic Hotel berhampiran dengan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Inilah saat yang paling dibanggakan UMNO dan kita terus-menerus diingatkan tentangnya.

UMNO mengatakan bahawa demonstrasi tu adalah peristiwa penting dalam sejarah Malaya. Disebabkan demonstrasi itulah maka landskap politik Malaya berubah. Jadi, betulkah bahawa demonstrasi bukan budaya kita? Sebenarnya, ia adalah batu asas Persekutuan Tanah Melayu. Malaysia yang wujud pada hari ini adalah hasil demonstrasi tu. Inilah yang terus-menerus diberitahu UMNO kepada kita.

Tapi sekarang, mereka kata bahawa demonstrasi bukan budaya kita pula?